Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Yang Amat Dihormati Tan Sri Dato’ Abu Hassan Haji Omar, Pengerusi BASIS Holdings Sdn Bhd
Yang Mulia Tengku Datuk Seri Panglima Zainal Adlin
Pengerusi Lembaga Pelancongan
Yang dihormati En Zainoor Sulaiman
Pengarah , BASIS Holdings Sdn Bhd
Yang Berusaha Prof.Madya Dr.Hj Kasim Hj.Mad Mansor
Timbalan Naib Canselor HEPA,UMS
Rakan-rakan Media
Dekan-Dekan dan Ketua-Ketua Jabatan UMS,
Tuan-tuan dan Puan-puan, para hadirin sekalian.
Terlebih dahulu saya ingin merafakkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dipertemukan sekali lagi pada hari ini sempena Pelancaran National Internship Challenge Ke-5 2011 bertemakan “Memperkasakan Transformasi Mahasiswa Usahawan Pelancongan “. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Dihormati Tan Sri Dato’ Abu Hassan Haji Omar, Pengerusi BASIS Holdings Sdn Bhd atas kesempatan untuk bersama-sama kita di Dewan Galeri yang indah ini. Dikala kesibukan jadual kerja yang padat, Yang Amat Dihormati Tan Sri masih sudi meluangkan masa untuk bersama-sama dengan kita pada majlis yang bermakna ini. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yang Amat Dihormati Tan Sri.
Yang Amat Dihormati Tan Sri, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Pelancaran National Internship Challenge Ke-5 2011 ini sememangnya bertepatan pada masanya. Dalam menempuhi arus perdana pada abad ke-20 ini, Malaysia merupakan sebuah negara berbudaya sains dan teknologi, Namun sebuah Negara yang maju serta moden tidak bererti meninggalkan ciri-ciri manusiawi yang harus ada pada diri setiap rakyatnya. Seperti yang pernah diungkapkan oleh YAB Mantan Perdana Menteri dalam ucapan beliau ’Malaysia melangkah ke hadapan’ yang kini dikenali sebagai wawasan 2020. Malaysia pada abad ke 21 mestilah memiliki ciri-ciri unggul seperti bersatu padu, merdeka dan perkasa, berkeyakinan dan disegani oleh Negara lain. Walau bagaimanapun dalam menempuhi cabaran kerjaya ramai mahasiswa masih lagi terkial-kial mencari peluang pekerjaan, ramai siswazah seluruh IPTA yang masih menganggur. Apabila berhadapan dengan isu pengangguran siswazah, maka wajarlah kita merenung kembali pencapaian kita. Kegagalan melahirkan siswazah yang mampu berkhidmat di luar negara atau meneroka peluang pekerjaan di peringkat antarabangsa haruslah dititikberatkan. Kita haruslah menjadikan institusi pendidikan tempatan sebagai institusi yang mampu melahirkan kualiti modal insan, kreatif dan inovatif yang bersifat sejagat, tidak kenal sempadan daerah geografi, adventerous dan versatile. Kita tiada pilihan kecuali melahirkan warga kosmopolitan, yang berkemampuan mengurus organisasi pelbagai budaya dan berkhidmat diserata dunia.
Yang Amat Dihormati Tan Sri, tuan-tuan dan puan-puan sekalian
Dalam kita mengejar arus perdana kita sering lupa bahawa di mana kita berpijak, kita hanya melihat peluang pekerjaan disyarikat-syarikat yang gah, sudah stabil namun jarang sekali kita mengesan dan melihat peluang –peluang yang sedia ada dengan kita yang sememangnya boleh dijadikan sumber untuk menjana pendapatan seperti memajukan sektor pelancongan di negeri Sabah ini. Negeri Sabah kaya dengan sumber pelancongan semulajadinya. Oleh itu sektor pelancongan boleh dijadikan industri yang mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada mahasiswa khususnya dalam sub-sektor pelancongan seperti perhotelan, penginapan, makanan, aminities, kraftangan, reakreasi, pengangkutan, dan lain-lain lagi. Secara langsung aktiviti ini akan menjadi penyumbang penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri Sabah. Oleh itu peluang ini mestilah direbut dan digunakan dengan sebaiknya oleh para mahasiswa yang mampu menjana pulangan lumayan.
Yang Amat Dihormati Tan Sri, tuan-tuan dan puan-puan sekalian
Rakyat negeri sabah sememangnya bertuah kerana dianugerahi dengan keindahan alam semulajadi yang mampu menarik tumpuan orang ramai khususnya para pelancong asing. Kita mempunyai Pusat Pemuliharaan Orang Hutan Sepilok, Labuk Bay Proboscis Monkey, sarang burung di Gua Gomantong, Pulau Sipadan, Pulau Memutik dan kawasan penyu di Pulau Selingan serta banyak lagi tempat-tempat yang menarik di seluruh Sabah ini. Kesemua anugerah Ilahi ini seharusnya dijana sebaik mungkin oleh rakyat Sabah supaya dapat dimajukan untuk manfaat dan faedah bersama. Pembinaan hotel-hotel bertaraf lima bintang dan kemudahan penginapan bajet akan dapat memenuhi kepelbagaian kehendak pelancong yang datang dari pelbagai kategori. Pembangunan modal insan dalam bidang perhotelan juga perlu dipertingkatkan lagi agar perkhidmatan yang berkualiti dan profesional dapat diberikan.
Masyarakat juga perlu memainkan peranan yang lebih menonjol, misalnya melibatkan diri dalam program ‘home stay’. Masyarakat di Sabah perlu mengamalkan sikap lebih terbuka menerima kedatangan pelancong dari luar negara. Layanan mesra sesuai dengan budaya kesopanan dan budi bahasa ketimuran perlu diperlihatkan sebagaimana yang biasa kita lakukan ketika melayan tetamu di rumah. Masyarakat perlu menyampaikan mesej bahawa kedatangan pelancong ke negeri Sabah sememangnya dialu-alukan oleh warga tempatan.
Yang Amat Dihormati Tan Sri, tuan-tuan dan puan-puan sekalian
Pemilihan UMS sebagai tuan rumah pada kali ini sangat bermakna dan selari dengan tema tahun ini iaitu “Memperkasakan Transformasi Mahasiswa Usahawanan Pelancongan”. Saya percaya pemilihan UMS sebagai tuan rumah pada kali ini adalah berdasarkan keindahan semula jadi negeri Sabah yang penuh dengan flora dan fauna. Justeru itu, saya percaya penganjuran program cabaran kerjaya kebangsaan ke-5, 2011 melalui kerjasama dengan Jobmarket Malaysia Sdn Bhd serta Lembaga Pelancongan Sabah ini mampu memberi pengalaman berharga kepada para peserta agar sentiasa mempertingkatkan jati diri dan nilai-nilai keusahawanan dalam menempuhi pelbagai cabaran dunia keusahawanan seiring dengan peredaran globalisasi.
Justeru itu, syabas dan tahniah kepada generasi muda yang akan bersama-sama mengikuti program ini yang akan berlangsung selama 2 hari kelak iaitu 8-10 Oktober 2011 ini. Penglibatan dan komiten yang tinggi diharapkan boleh ditunjukkan oleh mereka dalam setiap aktiviti sepanjang program ini berlangsung. Tanpa sambutan yang menggalakkan daripada golongan ini sudah pasti program ini tidak mampu dilaksanakan dengan jayanya dan objektif yang ingin dicapai akan gagal .
Pesanan saya kepada mahasiswa sekalian agar menggunakan atau mengaplikasikan segala pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh semasa program ini sebagai bekalan dalam kehidupan seharian di masa hadapan. Sesungguhnya anda adalah pewaris kepada tonggak kepimpinan negara pada masa akan datang. Saya ingin tekankan bahawa mahasiswa seperti anda berperanan penting dalam melaksana dan menjana suasana positif negara ke arah mencapai aspirasi kerajaan untuk mencapai matalamat Model Baru Ekonomi (MBE) Malaysia yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan isirumah. Harapan dalam merealisasikan wawasan MBE ini sememangnya terletak ditangan anda semua.
Penganjuran program pada kali ini sebenarnya bukan sahaja memberi manfaat kepada pesertanya malah turut memberi pengalaman berharga kepada ahli jawatankuasa yang turut melibatkan pelajar-pelajar UMS. Saya percaya bagi mereka yang terlibat, pengalaman dalam penganjuran program ini merupakan suatu pendedahan yang berguna untuk bekalan dalam menganjurkan aktiviti lain yang mungkin lebih besar kelak.
Penganjuran kali ini juga berjaya memberi penerapan mengenai aspek kepimpinan, kerja berpasukan serta kemahiran berkomunikasi yang berkesan di kalangan setiap ahli jawatankuasanya. Bagi para mahasiswa, ini secara tidak langsung meningkatkan kemahiran insaniah dan kebolehpasaran mereka, manakala bagi kakitangan pula, ia mengukuhkan jalinan kerjasama yang sedia terjalin di antara UMS dengan jobmarket Malaysia sdn bhd serta Lembaga Pelancongan Sabah.
Sesungguhnya, saya mewakili pihak universiti sangat berterima kasih dengan jobmarket Malaysia sdn bhd dan Lembaga Pelancongan Sabah kerana telah memilih UMS sebagai rakan kongsi bagi menganjurkan program ini. Bagi pihak UMS, kami sememangnya sentiasa mengalu-alukan kerjasama penganjuran aktiviti-aktiviti seumpama ini.
Para hadirin sekalian,
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya bagi pihak UMS dan seluruh jawatankuasa penganjur sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Dihormati Tan Sri Dato’ Abu Hassan Haji Omar, Pengerusi BASIS Holdings Sdn Bhd kerana sudi meluangkan masa bersama-sama dengan kita pada hari ini.
Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua yang terlibat bagi menjayakan program yang sangat bermanfaat ini. Kepada para peserta sekalian, gunakanlah segala ilmu dan pengalaman yang ditimba sepanjang mengikuti program ini sebaiknya. Biarlah ia sentiasa tersemat di minda dan diaplikasi dalam kehidupan anda setiap masa. Dengan ini saya merasmikan pelancaran National Internship Challenge Ke-5 2011 (07 Mei 2010) ‘Memperkasakan Transformasi Mahasiswa Usahawan Pelancongan’ dengan lafaz
Bismillahirrahmanirrahim
Sekian, terima kasih.